01 December 2012

UAI - Kenduri dan doa untuk arwah ikut hindu?.


Islam sangat menggalakkan orang hidup terutama kepada anak-anak dan keluarga terdekat yang lain supaya sentiasa membaca Al-Qur‘an, doa dan zikir dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada keluarga, sanak saudara dan sahabat handai yang telah meninggal. Pada hakikatnya pembacaan Al-Qur‘an, bertahlil dan seumpamanya itu tidak hanya terhad atau terikat dengan tujuh hari, empat puluh hari atau disebut sebagai makan haul, bahkan bacaan-bacaan tersebut sepatutnya sentiasa diamalkan sepanjang masa supaya ibu bapa dan keluarga yang telah meninggal itu mendapat rahmat, ketenangan dan kebahagiaan sebagaimana yang dinanti-nantikan oleh mereka. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Umpama orang mati itu dalam kuburnya seperti orang karam yang berpaut dengan apa sahaja, dia menanti doa daripada anak, atau bapa atau saudara atau kerabat, dan sesungguhnya doa itu masuk ke dalam kubur si mati (iaitu) doa daripada orang yang hidup yang berupa cahaya seperti gunung besarnya”. 

Rasulullah SAW juga menyatakan bahawa tiap-tiap seorang hamba Allah mempunyai dua pintu di langit, sebuah pintu tempat amalnya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun; maka apabila seseorang mukmin itu mati, ternyata kehilangannya oleh kedua pintu itu, lalu menangisinya. Perkara ini telah diriwayatkan oleh Anas Radhiallahu ‘anhu, sebagaimana Baginda bersabda:

Maksudnya: “Orang mukmin itu mempunyai dua pintu, satu pintu bagi amal kebajikannya naik ke langit dan satu pintu tempat turun rezekinya daripada langit. Maka apabila seseorang itu mati kedua-dua pintu itu menangis. Oleh kerana itu Allah Ta‘ala berfirman: “Mereka itu (Firaun dan orang-orang yang tidak melakukan amal kebaikan di muka bumi ini, ketika dibinasakan) tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi”.
(Hadis riwayat Al-Tirmizi)

No comments:

Post a Comment